Rabu, 07 Februari 2007

Siti Pujuk Datuk K ke Majlis Grammy

Siti pujuk suami jalan atas karpet merah
oleh Wahida Asrani




Kejelitaan penyanyi No 1 negara ini kian terserlah setelah bergelar isteri (Foto The Star oleh Raja Shamsul)


Lusa, tanggal 10 Februari, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza akan melakar satu lagi sejarah tersendiri dengan menjadi artis pertama negara ini yang akan berjalan seiring dengan selebriti terkenal Hollywood di acara karpet merah Anugerah Grammy ke-49, yang akan berlangsung Ahad ini di STAPLES Center, Los Angeles.

Pada satu sidang media khas semalam di Presidential Suite, JW Marriot, Siti melahirkan rasa terujanya untuk menyaksikan sendiri anugerah berprestij itu, selain melihat dengan lebih dekat lagi selebriti antarabangsa yang menjadi pujaannya.

"Siti harap dapat berjumpa dengan penyanyi favorite Siti dari dulu lagi, Celine Dion. Teringin juga nak jumpa artis-artis lain secara live seperti Justin Timberlake dan Beyonce.

"Jika berkesempatan, Siti memang tak akan lepas peluang untuk bergambar dan minta autograf mereka ke...sebab salah satu benda 'wajib' yang akan Siti bawa ke sana nanti ialah kamera," ujarnya tersenyum ketika menceritakan impiannya ketika berada di sana nanti.

Siti memenangi dua tiket ke anugerah tersebut pada bulan Mac tahun lepas ketika terpilih sebagai Artis Berpakaian Paling Cantik di acara Ritz Carlton "Breakfast With The Stars" atas tajaan Star World.

Tiket kemenangan itu nampaknya 'berganda' apabila cadangan Star World untuk memasukkan nama penyanyi ini ke acara karpet merah tercapai, berikutan pencapaian hebat yang dikecapi oleh Siti di persada seni tanahair.

Ditanya mengenai perasaannya yang diundang untuk memeriahkan acara karpet merah majlis tersohor itu, Siti berkata dia memang agak gelisah memikirkan mengenai perkara tersebut, tetapi dia akui inilah peluang untuk dirinya merasai sendiri pengalaman berharga itu selain cuba menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan kerjaya seninya.

"Walaupun nama Siti adalah 'kecil' sahaja kalau nak dibandingkan di peringkat antarabangsa, Siti masih melihat peluang ini sebagai satu platform untuk Siti perkenalkan muzik dan seni tanahair kita.

"Sebab itu, Siti ambil peluang membawa sekali beberapa material seperti CD album Siti dan serahkan pada pihak-pihak tertentu di sana jika berkesempatan.

"Sebelum ini pihak Star World juga pernah hantarkan CD album Transkripsi dan konsert di Royal Albert Hall kepada pihak penganjur Grammys semasa mereka mencadangkan nama Siti untuk ke acara karpet merah. Tengoklah macam mana nanti.

"Dan Insyaallah, jika ada media yang ingin menemubual Siti ketika acara tersebut, Siti akan cuba yang terbaik untuk bertutur di dalam bahasa Inggeris. Siti sedar bukan selalu artis Malaysia dapat berada di Grammys," kata Siti yang akan ditemani suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa, juru mekap Nurul Shukor dan pengurus produksi, Saiful Kadri nanti.

Ujar Siti lagi, dia juga ketika ini sedang di dalam proses 'memujuk' suami tercinta untuk turut sama berjalan di acara karpet merah itu.

"Dia memang tidak bercadang lagi untuk berjalan di karpet merah nanti. Tetapi, Siti akan pujuk dia lagi," tambahnya dalam nada ceria.

Di sana, krew Channel V seramai tiga orang dan dibantu oleh krew tempatan di LA akan membuat liputan perjalanan dan aktiviti Siti di mana footage tersebut akan dimuatkan di dalam program khas, Popparazzi yang akan disiarkan di Channel V nanti.

Pasangan ini akan berada di Los Angeles selama lima hari sebelum bertolak ke Vancouver untuk bercuti. Siti dan Datuk K dijangka pulang ke tanah air pada 20 Februari nanti.

Ketepikan Radzuan Radziwill kerana Bernard?

Tidak dinafikan, tanpa sentuhan kreatif pereka fesyen terkenal, Radzuan Radziwill, tidak mungkin Siti akan berpeluang ke anugerah gilang-gemilang itu. Kerana rekaannya itu juga, Siti berjaya memenangi Artis Berpakaian Paling Cantik di acara Ritz Carlton "Breakfast With The Stars" dan sekaligus berpeluang ke Grammys.

Namun setelah berpeluang ke acara berpestij itu, pereka fesyen Datuk Bernard Chandran pula yang dipilih oleh Siti untuk menata gayanya sempena majlis tersebut, dan bukan Radzuan.

"Memang Siti ingin berterima kasih banyak-banyak pada Radzuan. Tapi Siti tidak rasa siapa yang Siti pilih boleh menjadi satu masalah besar. Radzuan sendiri pun tidak kisah.

"Siti ingin pula lihat cara dan style Datuk Bernard kerana setakat ini, Siti hanya pernah menggayakan rekaannya ketika majlis hari lahir Siti bulan lepas. Itu saja," katanya.
Siti akan mengenakan pakaian rekaan Bernard berwarna hitam putih dari kain jenis Chanel yang dibeli sendiri oleh penyanyi itu dari London baru-baru ini. Rekaan pakaian itu berkonsepkan konservatif dengan sentuhan moden dan berpotongan ala kebaya pendek serta berkerawang.
Suaminya, Datuk K juga adalah antara orang yang bertanggungjawab memberikan idea untuk rekaan tersebut.
"Dulu baju yang Radzuan buat untuk Siti ketika menang Artis Berpakaian Paling Cantik itu juga ada melibatkan idea suami Siti.
"Kali ini, dia ada juga bagi sedikit idea tetapi memang kami beri kebebasan juga pada Bernard," jelas Siti yang juga sekaligus akan menyambut Hari Kekasih bersama suaminya di sana nanti.

'Enjoy' sebelum ada anak

Dari hari ke hari, spekulasi bahawa penyanyi ini sedang mengandung semakin hangat diperkatakan. Dan setiap kali bertemu media, pasti perkara itu akan disangkal oleh diva ini.
"Siti pun tunggu juga sebenarnya, tapi belum ada nak buat macam mana. Tak apalah, kami sekarang ini sedang enjoy dengan kehidupan rumahtangga kami.
"Selagi belum ada rezeki, biarlah kami nikmati hidup seperti ini dulu," kata Siti yang akui berat badannya kini bertambah 2 kg.
"Risau juga tentang berat badan, tapi malas nak fikir sangat. Memang ada berazam juga untuk diet sikit," tambahnya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar