Minggu, 04 Februari 2007

ABP BH 2006 - Mawi Menang Lagi !

mawi menang lagi menewaskan pesaing terdekat, datuk Siti Nurhaliza..tahniah juga diucapkan kepada pemenang lain..

Mawi pertahan gelaran Bintang Paling Popular

Oleh Akmal Abdullah

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi dinobatkan oleh pembaca akhbar ini sebagai Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, yang berlangsung di sini, malam tadi.


KEKAL GELARAN: Mawi bersama anugerah yang dimenanginya, malam tadi.

Mawi, 25, yang meraih 261,555 undi, memenangi gelaran itu untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengetepikan saingan kelompok empat lagi artis yang mendapat undi tertinggi iaitu Fasha Sandha, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Rosyam Nor.

Berikutan kemenangan itu, Mawi meraih hadiah barang kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM200,000 dan kenderaan Naza Sorento 2.5 (A) tajaan Naza Kia Sdn Bhd berharga RM143,000.

Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan berkongsi trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama penyanyi Jamal Abdillah.

Trofi Bintang Paling Popular 2006 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun pada majlis kemuncak ABPBH 2006 di Arena of Stars, di sini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Anugerah Khas Bintang Popular diberikan kepada pengarah veteran, Datuk Jamil Sulong sementara Anugerah Biduan Veteran dihadiahkan kepada penyanyi 60-an, Jefrydin manakala Anugerah Seniwati Veteran disampaikan kepada Datin Umi Kalthum.

Majlis anugerah gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan radio Era. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan yang berlangsung selama dua setengah jam di arena itu.

Sementara itu, Fasha Sandha dan Saiful Apek membuat kejutan apabila masing-masing terpilih menang dua kategori yang dipertandingkan dalam ABPBH 2006.



Fasha meraih gelaran Pelakon Filem Wanita Popular selepas mengetepikan saingan Erra Fazira dan Nasha Aziz yang menjadi pencabar terdekatnya, serta kategori Pelakon TV Wanita Popular dengan mengenepikan Eja dan Rita Rudaini .

Saiful yang mempertahankan kategori Artis Komedi Lelaki Popular, merampas gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular yang sebelum ini kerap dimenangi Rosyam.

Bagaimanapun, Rosyam berjaya mempertahankan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Siti Nurhaliza pula terus mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-10 sekali gus mempertahankan gelarannya sejak kali pertama mengunggulinya pada ABPBH 1997.

Kumpulan Rabbani turut mempertahankan reputasinya apabila dipilih meraih kemenangan dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular, manakala Sheila Rusly sekali lagi membawa pulang gelaran Artis Komedi Wanita Popular.

Bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing dimenangi bakat baru, Faizal AF4 dan Farahwahida.

Pemenang bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Pengacara TV Wanita Popular disandang bintang yang sama seperti beberapa tahun sebelumnya, iaitu Aznil Nawawi dan Fara Fauzana.

Halim Othman dari stesen Sinar FM dan Linda Onn dari radio Era turut berjaya mempertahankan kemenangan masing-masing bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular serta Penyampai Radio Wanita Popular.

ABPBH 2006 ialah edisi ke-20 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan penganugerahan berdasarkan undian peminat untuk artis dan selebriti yang terbabit dalam bidang perfileman, nyanyian dan penyiaran.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar