Erra tak bersanding
Oleh Norhadiani Baharom
SPEKULASI tarikh perkahwinan Erra Fazira Wan Chek (Erra), 33, dan tunangannya, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32, akhirnya terjawab apabila pasangan sama cantik sama padan ini memilih tarikh 25 Oktober (Khamis), jam 8.30 malam sebagai detik bersejarah mereka.
Jika sebelum ini, Erra seolah-olah bermain teka-teki berhubung tarikh perkahwinannya namun, selepas Pengurus Erra, Syed Abu Bakar (Syed) mengunjungi Balai Berita, semalam (pagi), bagi menyerahkan kad jemputan ia bagaikan menjawab telahan media selama ini.
Tarikh 25 Oktober, secara tidak langsung membuktikan laporan pihak media mengenai khabar angin 25 Oktober bakal menjadi tarikh keramat bakal mempelai adalah benar belaka.
Difahamkan, sebelum ini Erra dan tunangnya merancang mengedarkan sendiri kad undangan. Bagaimanapun atas kesibukan menguruskan persiapan perkahwinan Syed diminta mewakili mereka.
Syed berkata, melalui pengalaman (berkahwin) lalu Erra memutuskan untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana agar mendapat lebih keberkatan dari Ilahi.
"Erra ketika ini teramat sibuk membuat persiapan perkahwinannya untuk memastikan yang terbaik di hari bahagianya nanti. Dia juga mengharapkan majlis pernikahannya pada 25 Oktober, jam 8 malam berjalan dengan lancar.
"Tiada sebarang persandingan dilakukan pada tarikh berkenaan sebaliknya berlangsung upacara akad nikah dan kemudian mempelai akan beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Majlis bersanding hanya akan dilakukan sebelah pihak lelaki.
"Sengaja Erra menetapkan sebuah majlis perkahwinan yang sederhana kerana mahu mendahulukan apa yang dituntut agama. Paling penting adalah keberkatan daripada Maha Esa.
"Lagipun perkahwinan pertama dulu, dia sudah pernah merasa bersanding secara besar-besaran justeru kali ini dia mahu lebih ringkas dan tenang. Apa yang pasti walaupun diadakan secara sederhana, ia tetap meriah," katanya.
Syed menambah lagi, majlis ini akan dihadiri kaum keluarga, saudara mara dan sahabat handai terdekat saja. Erra dan Emran memilih melangsungkan perkahwinan mereka pada Syawal kerana mahu mendapat keberkatan bulan mulia itu.
Pelakon dan penyanyi jelita itu turut menyertakan nama pihak yang terbabit dalam menyempurnakan majlisnya.
Iaitu Pak Abu sebagai perancang majlis perkahwinan, pereka fesyen terkenal seperti Radzuan Radzwill, Jovian Mandagie, Butik Citra, Butik Cosry, Rafflesia, Rosalina Bloomingcake, Lord's Tailor dan Apple Entertainment Advertising (Sound&Light).
Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
Tags:
Tidak ada komentar:
Posting Komentar