Adegan kecoh di apartmen banyak diputarbelitkan
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Salehuddin www.bharian.com.my
TIADA kata hitam putih mengenai percintaan mereka yang pernah didengar peminat. Apa yang sampai ke telinga hanya khabar angin mengatakan dua pelakon popular, Erra Fazira dan Hans Isaac sebenarnya bukan sekadar berkawan.
Lalu, seluruh peminat tersentak apabila Hans tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa hubungannya dengan si bekas ratu cantik ini sudah putus. Apa yang putus, seandainya mereka berdua tidak bercinta? Mengapa pula nada Hans dalam kenyataannya di akhbar Harian Metro itu cukup lain bunyinya sekiranya dia dan Erra rakan biasa?
Kerana sebuah gosip yang disiarkan mengenai seorang artis sudah mempunyai buah hati yang lain, maka cerita sebenar sudah hampir diketahui. Selepas kenyataan Hans, buah hati yang dimaksudkan, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran serta Erra sendiri juga sudah membuka mulut mereka menjelaskan keadaan.
Hip mendekati Erra pada petang Jumaat lalu untuk mendengar luahan hatinya.
"ADA beberapa perkara penting yang ingin Erra kongsikan di sini, yang Erra rasakan cukup mustahak untuk diketahui semua. Pertamanya, keadaan sudah kembali baik antara Erra dan Hans dan kekecohan yang berlaku beberapa hari lalu itu pun sudah diselesaikan dengan sebaiknya.
"Erra tidak menafikan, Hans agak beremosi sebelum ini dan agak panas dengan apa yang terjadi. Waktu itu, Erra sendiri pun tidak dapat bercakap dengan Hans. Syukurlah, kini kami sudah dapat berkomunikasi semula. Sejak dua tiga hari lalu Erra sudah dapat bercakap kembali dengannya.
"Ya, Erra dan Hans ada masalah, kami tidak menafikannya. Begitupun, semua itu sudah dapat diungkaikan. Maksudnya, Erra sudah berbicara bersama Hans. Jika baiklah perhubungan kami, baiklah, tetapi jika sebaliknya, hidup kita harus diteruskan.
"Erra sendiri mahukan kebahagiaan. Erra bukannya semakin muda. Erra mahu mencari lelaki yang boleh membimbing Erra. Begitupun, Erra tidak pernah mengeluarkan kenyataan, siapa lelaki yang akan menghabiskan hidup bersama Erra.
"Justeru, yang kedua ingin Erra tegaskan, Erra ada hak untuk mengenali hati budi sesiapa. Dalam proses pengenalan itu, mungkin pilihan Erra itu betul dan mungkin juga salah. Kita tidak tahu apa berlaku pada masa depan. Namun, peluang untuk mengenali hati
budi itu amat penting buat Erra. Kalau jodoh, ia tidak ke mana dan kita semua tahu, kita tidak boleh mengelakkan kalau itulah jodoh kita.
"Lalu, apabila kekecohan seperti ini terjadi, Erra jadi serba salah kerana ia sudah membabitkan maruah diri dan keluarga. Apa yang Erra minta ketika ini ialah masa untuk mencari jawapan Erra sendiri. Setiap individu itu mempunyai proses pengenalan mereka sendiri dan menerusi proses itu, jika dia berasakan ada kesesuaian, ia boleh diteruskan dan jika tidak ada, maka tiadalah.
"Erra menerima segala apa yang berlaku sebagai ujian daripada Tuhan. Sudah acap kali Erra menerima dugaan Ilahi, dan kali ini Erra laluinya sekali lagi. Meskipun begitu, kata orang tua, ujian yang menimpa menandakan Tuhan menyayangi kita. Jadi, Erra menerimanya dengan hati terbuka kerana Erra melihat secara positif, Tuhan menyayangi Erra.
"Tentunya Erra agak kecewa apabila pelbagai cerita disebarkan mengenai apa yang terjadi. Terus terang Erra katakan, apabila sesebuah cerita dipetik daripada sumber yang tidak menentu, maka ia menjadi keterlaluan. Lalu keluarlah cerita kami bergaduh di apartmen la, Engku Emran memakai boxer la... Memang ada salah faham berlaku antara Erra dan Hans, tetapi nyata sekali bukan sebagaimana yang digambarkan.
"Jika boleh, Erra sekelumit pun tidak mahu melanjutkan perkara ini. Cuma Erra ingin katakan, apa yang berlaku tidaklah seperti yang diceritakan oleh gosip dan sebagainya. Semua orang tahu Erra tidak tinggal di apartmen dan Erra pula tinggal di kediaman Erra
bersama beberapa orang lagi termasuk pembantu peribadi dan sepupu Erra (merujuk kepada tuduhan dia dan Emran hanya berdua).
"Yang ingin Erra tekankan juga, Erra dan Hans masih bersahabat. Erra bukannya hendak bermusuh dengan sesiapa dan Erra tahu, itu juga bukan cara Hans. Apa yang sudah berlalu, kami saling memaafkan dan seterusnya kami melupakan.
"Erra dan Hans berhak untuk mendapat hidup yang bahagia. Namun, cara mana kebahagiaan itu akan tiba, kita sendiri tidak mengetahuinya. Hans pula ialah lelaki yang sangat baik, jika kita mengenali dirinya. Erra tidak marah padanya. Tetapi kita semua manusia, sentiasa terdedah kepada melakukan kesilapan. Erra sendiri turut membuat kesilapan."
FAKTA: Gossip Erra FaziraJika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
- Erra Fazira Wan Chek, 33, Sabtu lalu dipetik mengakui menjalin hubungan rapat dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, sejak dua bulan lalu.
- Katanya, dia dan Engku Emran, 32, berkawan rapat selepas hubungan dengan pelakon Hans Isaac, 36, tidak lagi serasi.
- Erra apabila ditanya mengenai perkahwinan dengan Engku Emran berkata, ia adalah soal jodoh dan ketentuan Tuhan. Ketika ini, katanya, mereka masih baru berkenalan dan sedang mengenali hati budi masing-masing.
- Wanita jelita ini mula berkawan dengan Hans sejak mereka berlakon bersama dalam filem Gemilang (arahan Datuk Yusof Haslam pada 2002). Bagaimanapun hubungan mereka semakin rapat selepas dia bercerai dengan Yusry.
- Aktres yang kini rancak menjalani penggambaran filem Hidden itu turut menegaskan Hans bukan punca perceraiannya dengan Yusry.
Tags:
Tidak ada komentar:
Posting Komentar