Senin, 22 September 2008

Nubhan Masuk Wad





oleh Razif Rosdi
www.murai.com.my


KUALA LUMPUR, 19 SEPT 2008: Dalam keseronokan murai.com.my mempromosikan Nubhan dan biskut angsa raya beliau, tiba-tiba terdengar berita terbaru mengatakan pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6), kini dirawat di sebuah hospital di Seremban akibat menghidap sakit pada bahagian tulang belakang (slip disc).

Perkara ini disahkan secara eksklusif kepada portal ini oleh ayah Nubhan, Ahamad Abdul Rahman yang dihubungi di Seremban, lewat petang tadi.

"Betul Nubhan sedang sakit. Sebenarnya, sebelum Nubhan masuk AF6 lagi dia sudah lama sakit tulang belakang. Namun, doktor yang merawatnya menasihatkan agar Nubhan bersenam (fisioterapi) supaya tulangnya yang senget itu kembali berada pada kedudukan asal dan sempurna.

"Bagaimanapun, pakcik kenal anak pakcik. Pakcik dapat rasakan Nubhan tidak suka buat senaman. Nubhan jenis suka mendiamkan diri saja kalau dia sakit. Apabila sudah betul-betul teruk, barulah dia beritahu pakcik. Sebelum ini, Nubhan pernah pergi berurut tapi keadaan tidak pulih sepenuhnya," katanya.


Ahamad berkata, tepat jam 11 malam semalam, Nubhan dibawa ke hospital dan terpaksa ditahan kerana bahagian belakangnya sudah membengkak dan mengalami kekejangan. Jadi, doktor perlu memberikan suntikan kepada agar kesan bengkak itu susut.

"Terima kasih kerana sudi bertanya khabar tentang anak pakcik itu dan janganlah risau. Keadaan Nubhan tidaklah terlalu kritikal. Buat sementara waktu, Nubhan hanya perlu berehat dan akan diberikan suntikan untuk kurangkan bengkak itu. Selagi bengkaknya masih ada, selagi itulah Nubhan akan dirawat hospital," jelasnya.

Sebelum menerima berita daripada ayah Nubhan, murai.com.my terlebih dulu menghubungi kakak Nubhan yang dikenali Kak Teh bagi menjelaskan keadaan Nubhan.

"Semalam, Nubhan mahu dibawa berurut tetapi setelah melihat keadaannya makin teruk, tukang urut pun tak berani nak urut. Selepas itu, ayah terus bawanya ke hospital. Sebaik saja berjumpa doktor, kami dimaklumkan sakitnya itu sudah merebak ke bahagian saraf," jelas Kak Teh.

Difahamkan, Nubhan baru saja selesai penggambaran drama muzikal raya bertajuk Ada Cinta Di Hari Raya yang menampilkan dia sebagai hero di samping dua lagi bintang AF6 iaitu Stacy dan Nadia.


Pada kesempatan ini, murai.com.my ingin mendoakan agar Nubhan kembali sembuh seperti sediakala dan dapat menyambut hari raya yang bakal menjelma dengan keluarga serta peminatnya.




Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
Tags:

Tidak ada komentar:

Posting Komentar