Farah Asykin selamat dinikahkan dengan Dr Fariz Yahya, Sabtu lalu
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
www.bharian.com.my
SEBUAH mahligai indah dihadiahkan buat sang isteri sebagai tanda cinta Dr Fariz Yahya terhadap isteri tersayang Farah Asyikin Datuk Zulkifli sempena perkahwinan mereka.
Lebih setahun memadu cinta, Farah, 28 dan Fariz, 29 mengambil keputusan mengakhiri percintaan yang terpatri selama ini dengan ikatan yang suci dan sah. Senyuman meleret tidak lekang di wajah kedua-dua mempelai di hari pernikahan mereka yang berlangsung Sabtu lalu.
“Lega sangat-sangat kerana semuanya berjalan lancar. Semalam memang berdebar sungguh menanti saat untuk disatukan. Mula-mula terasa hendak menangis tetapi apabila Fariz melafazkan nikah sebanyak empat kali, air mata saya masuk semula. Terasa lucu pula dan terus tidak jadi hendak menangis,” kata Farah yang kelihatan ayu dengan kebaya lace warna krim rekaan Cosry.
Fariz yang duduk di sisi isterinya hanya tersenyum mendengar kata-kata Farah. Dia juga meluahkan perasaan yang sama, lega akhirnya mereka disatukan.
“Saya gembira kerana semuanya sudah selesai (akad nikah). Tetapi kehidupan kami masih belum selesai lagi, tanggungjawab saya sebagai suami baru bermula,” kata Fariz.
Tidak seperti pasangan pengantin baru lain yang sibuk memikirkan mengenai destinasi bulan madu, Farah dan Fariz pula tidak terfikir untuk itu semua kerana mereka mahu melabur untuk kediaman baru yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.
“Banyak yang perlu dilakukan untuk rumah kami, jadi tidak terfikir soal berbulan madu. Hendak tunggu semuanya lengkap dalam masa terdekat ini memanglah mustahil. Tetapi keutamaan kami kini adalah pada kediaman itu,” kata Farah lagi.
Menceritakan mengenai detik pertemuan mereka, Farah dan Fariz bertemu buat kali pertama pada 2002 di rumah seorang teman meraikan majlis hari jadi. Mereka bertentang mata sekali lagi tahun lalu dan hubungan itu menjadi lebih serius.
Telefon dan e-mel menjadi penghubung cinta jarak jauh memandangkan ketika itu Fariz bertugas di Ireland. Hampir tiga bulan berjauhan, Fariz melakukan pengorbanan besar apabila mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di tanah air.
“Sifatnya yang lembah lembut, sangat merendah diri serta kecantikan luaran dan dalam yang dimiliki Farah memikat hati saya. Lebih istimewa lagi, dia tidak memberitahu saya yang dia seorang penyanyi hanya setelah lama mengenali barulah Farah beritahu.
“Saya tidak kisah jika dia mahu meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian. Lagi pun isteri saya sudah menanti kehadiran album solonya selama lapan tahun dan saya akan terus memberikan sokongan kepadanya,” kata Fariz yang kini bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Album sulung yang paling dinantikan Farah bakal berada di pasaran minggu ini. Katanya, itu juga hadiah perkahwinan yang cukup istimewa buat dirinya. Sebagai tanda cintanya buat Fariz pula, dia menuliskan sebuah lagu berjudul Sempurna yang disusun oleh Audi Mok.
Mengenai Fariz, kata Farah suaminya itu amat memahami kerjayanya. Ketika masih bercinta, Fariz sering mengikutinya ke mana-mana malah ke majlis bertemu peminat. Selama manapun, Fariz sanggup menanti biarpun terpaksa duduk terperuk seorang diri di satu sudut.
“Harap-harap Fariz akan terus memberikan sokongan kepada saya. Dia tahu saya sudah lama menanti kehadiran album jadi dia sangat menyokong saya,” katanya lagi.
Ditanya tidakkah dia bimbang popularitinya akan merudum kerana mengambil tindakan berani berkahwin kala album baru hendak diluncurkan, Farah pula nyata optimis rezeki berada di mana-mana. Jujur dia mengakui langsung tidak terlintas di fikirannya berhubung hal itu tetapi orang di sekeliling pula yang sibuk bertanya.
“Farah tak ada fikir soal populariti cuma apabila ramai yang bertanya barulah terfikir. Bagi Farah rezeki ada di mana, kalau tidak ada album juga boleh glamor. Tetapi kalau sudah ada album pun belum tentu akan jadi glamor,” katanya.
Menyentuh soal cahaya mata, dalam masa terdekat ini dia belum terfikir akan soal itu kerana mahu mengukuhkan dulu kedudukan ekonomi mereka. Kata Farah, dia mahu anak-anak yang bakal dilahirkan melalui hidup yang selesa.
Baginya memadai hanya dua cahaya mata, sepasang lelaki dan perempuan. Fariz juga mengangguk setuju apabila Farah meluahkan pendapatnya.
Kedua-dua mempelai itu diraikan dalam tiga majlis berasingan iaitu di kediaman keluarga Farah pada sebelah malam, pada hari Ahad pula satu lagi majlis diadakan di Dewan Perdana Felda bagi meraikan tetamu kehormat keluarga Farah. Majlis menyambut menantu pula diadakan di pihak lelaki pada 20 Mei bertempat di Kelab Shah Alam.
Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
Tags:
Tidak ada komentar:
Posting Komentar