Selasa, 06 Maret 2007

Cerai matangkan Natasha



Natasha terima takdir
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

SEBAGAI insan biasa, kita memang tidak terlepas daripada menerima pelbagai ujian Illahi. Tanpa kekuatan aspek dalaman, mungkin sukar seseorang itu menangani ujian yang datang dalam hidupnya dengan baik. Namun, bagi model dan pelakon Natasha Hudson, 24, dia reda dengan ketentuan Tuhan.

Sekalipun tidak suka bercerita mengenai kisah perceraiannya, model popular ini tidak pernah menyesal dengan status barunya bergelar janda dalam usia muda.

“Saya percaya, setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya. Saya anggap episod duka dalam hidup saya itu sudah berlalu.

“Maaflah, saya tidak mahu lagi bercerita mengenai perceraian saya. Cukuplah cerita yang pernah dipaparkan di akhbar sebelum ini,” katanya.

Malah, kata Natasha, perkahwinannya yang putus di tengah jalan itu mengajarnya banyak mengenai kehidupan sekaligus semakin mematangkannnya.

Natasha bersyukur ketika menghadapi saat getir dalam hidupnya itu dia mendapat sokongan keluarga tercinta.

“Saya bersyukur kerana ada keluarga terutama ibu begitu memahami dan sentiasa di sisi saya dalam suka dan duka. Hubungan saya dengan ibu dan adik, Tania begitu rapat.

“Apatah lagi Tania kurang sihat ketika ini kerana kesihatannya kurang mengizinkan. Dia (Tania) pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini.

“Sebagai kakak, saya prihatin dengan tahap kesihatan adik saya itu. Maklumlah, dia masih belajar dan perlu ulang alik dari rumah ke kolej. Saya juga akan pastikan dia mendapat rehat yang cukup di rumah.

“Setiap kali habis penggambaran untuk peragaan, komersil atau filem, saya akan pastikan mengisi masa terluang bersama keluarga,” katanya.

Dalam pertemuan yang diatur pihak Golden Screen Cinemas (GSC) di Coffee Bean di pusat beli-belah One Utama, Natasha berkata, apa yang menjadi keutamaannya kini ialah kerjaya seninya.

Lebih-lebih lagi tawaran berlakon semakin mencurah tahun ini. Selain Chermin, Tipu Kanan...Tipu Kiri, ada beberapa lagi lagi projek filem baru menantinya.

“Alhamdulilah, orang mula nampak bakat saya dalam bidang lakonan. Kini, sudah tiba masanya saya mengorak langkah baru, seterusnya mengukuhkan nama di persada seni,” katanya.

Lebih memberangsangkan filem sulungnya, Chermin arahan pengarah bebas, Zarina Abdulllah bakal menjengah pawagam tempatan bermula 22 Mac nanti.

Selain Natasha (watak utama sebagai Nasrin), filem ini turut dibintangi Deanna Yusuf, Farid Kamil (Yusof) dan Khatijah Tan (ibu).

Chermin begitu penting buat kerjaya lakonan Natasha kerana ia pertaruhan yang bakal menentukan masa depannya dalam bidang lakonan.

“Debaran menanti tayangan filem ini memang melebihi segala-galanya dalam hidup saya. Filem ini juga dijangka ditayangkan ke peringkat antarabangsa. Proses suntingan dan sebahagian proses memasukkan muzik untuk filem ini dibuat di Thailand dan ia membabitkan orang yang sama buat filem Nang Nak,” katanya.

Natasha berkata, dia puas hati selepas melihat hasil filem itu.

“Sebaik saja filem ini siap, saya, pengarah dan krew filem ini berpeluang menontonnya. Secara peribadi, saya gembira dengan hasilnya.

“Filem ini sedikit menakutkan saya selepas menontonnya. Filem ini benar-benar menepati konsepnya.

“Mungkin orang fikir Chermin cerita hantu sepenuhnya, sebenarnya ia banyak menonjolkan elemen tradisi dan budaya kita seperti ilmu sihir, sumpahan dan cerita dongeng nenek moyang kita dulu.

“Saya juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan Zarina kerana dia tahu apa yang dia buat,” katanya.

Mengulas mengenai watak utamanya sebagai Nasrin, Natasha berkata, dia tidak menghadapi masalah menjiwainya.

“Saya akui filem ini memberi cabaran besar buat saya kerana 90 peratus ceritanya mengenai Nasrin.

“Sebagai orang baru saya banyak buat kajian mengenai filem berkaitan seperti Exorcist dan Omen. Selain itu, saya juga ada pengalaman melihat sendiri orang kena rasuk sebelum ini.

“Saya juga ingin membuktikan saya mampu memikul tanggungjawab ini.

Justeru, bila ada yang bertanya kenapa saya berani buat filem berat ini sedangkan ia filem pertama saya, jawapan saya mudah, sebab saya sukakan cabaran,” katanya.




lagi gambar natasha disini

Biodata Natasha
NAMA SEBENAR: Natasha Liana Hudson
UMUR: 24 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA Model, Pelakon dan pengacara
FILEM: Chermin, Tipu Kanan...Tipu Kiri
ANTARA DRAMA: Pei Pan
KELUARGA: Memiliki seorang adik, Tania Nadira Hudson, 21.
ANTARA IKLAN KOMERSIL: H20, Hotlink (bersama Farid Kamil dan Siti Nurhaliza), Sea White (Follow Me)


Tidak ada komentar:

Posting Komentar